Thursday, March 8, 2012

SELAMAT BERPISAH BUAT USTAZAH HASIAH.














Tanggal 8 MAC 2012 akan terus diingati oleh Ustazah Hasiah bt. Mohd Kasim. Itulah tarikh ustazah kesayangan ini menamatkan perkhidmatannya sebagai guru yang beliau telah sandang sejak tahun 1980.

Anak kelahiran Kg. Tuan, Kemaman ini menerima titipan ilmu di SK. Chukai ( 1962 – 1967), SMA Al-Falah (1968 – 1971) dan SMA Sultan Zainal Abidin ( 1972 – 1977). Beliau telah menimba ilmu perguruan di Maktab Perguruan Islam, Petaling Jaya dari tahun 1978 – 1979.

Mula berkhidmat sebagai pendidik di SK. Chukai, Kemaman pada tahun 1980 hingga 1987. Seterusnya berkhidmat di SK Air Putih ( 1987 – 1988), SK. Pasir Gajah (1989 – 1991), SK. Binjai (1992 – 1997), SK. Kg. Tengah (1998 – 2002), SK. Geliga (2003 – 2007) dan berakhir di SK. Pusat ( 2008 – 2012).

Kini, di pagi Khamis 8 MAC 2012, beliau telah diraikan dalam satu majlis yang mengujakan. Dijemput di rumah bagai ‘pengantin Cina’ ( katanya). Tiba di sekolah, beliau terus diarak dengan kompang dan bunga manggar untuk berjumpa dengan semua murid.

Di pentas, Tuan Guru Besar, En. Omor bin Draman telah memberikan ucapan perpisahan disusuli ucapan Ustazah Hasiah sebagai kemuncak detik rasa beliau melalui detik-detik yang akan menjadi kenang-kenangan itu. Selepas itu persembahan nyanyian oleh murid-murid, guru-guru dan warga SK. Pusat diadakan sebagai menyerikan majlis. Cenderahati persaraan pula telah diberikan oleh segenap peringkat termasuk dari kalangan murid-murid beliau.

Semoga majlis itu terus menjadi kenangan manis buat ustazah. Berikut ialah sedikit sketsa majlis tersebut. “SELAMAT BERPISAH BUAT USTAZAH HASIAH.” Semoga dipanjangkan umur, sihat sejahtera, terus berbakti dan dimurahkan rezeki. Sekian.

Monday, March 5, 2012

BACA, BERIMAN DAN BERAMALLAH DENGAN ALQURAN.


Wahai remaja yang berhati mulia,

Keberkatan dan rahmat bagi sesiapa yang sentiasa membaca al-Quran. Cerahlah mata hati insan yang diterangi oleh ayat-ayat suci kalamullah. Al-Quran menjadi pendinding dari bisikan syaitan dan gangguannya. Suara yang mengalunkan al-Quran akan mengharmonikan suasana dan memberkati rumah kediamannya. Pahalanya pula berganda-ganda. Allah amat suka akan hamba-Nya yang mesra dengan al-Quran.

Sayangnya pada hari ini kita menyaksikan bahawa umat Islam terus leka dan sering mengabaikan mukjizat dari tuhan yang diciptakan untuk bekalan hamba-hambanya di akhir zaman. Pelbagai mukjizat yang Allah anugerahkan kepada nabi-nabi dan rasul-rasul-Nya untuk umat-umat masing-masing bagi meningkatkan kataqwaan. Apa yang berlaku pada hari ini ialah orang bukan Islam mula memanfaatkan mukjizat agung ini sebaliknya orang Islam terus menjadikan al-Quran sebagai hiasan rumah dan jauh sekali daripada memanfaatkan kandungannya. Allah azza wa jalla berfirman pada ayat kedua dalam surah al-Baqarah, mafhumnya, “diturunkan ini kitab (al-Quran) sebagai petunjuk untuk orang-orang yang bertaqwa”. Lihat, al-Quran ini adalah sebagai petunjuk iaitu halatuju bagi mereka yang ingin berjumpa dengan tuhannya yakni khususnya untuk orang-orang yang bertaqwa. Siapakah insan yang mengaku bertaqwa kepada Allah? Dimaksudkan taqwa di sini adalah orang yang takut kepada Allah; mereka menurut segala perintah-Nya dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya. Ramai orang yang mengaku takut kepada Allah sehinggakan seorang penagih dadah mampu menuturkan kata-kata takut kepada Allah walaupun dalam keadaan tangan kanannya memberi suntikan untuk tangan kirinya. Hakikatnya, orang yang benar-benar takut akan Allah adalah mereka yang sentiasa rasa bersalah terhadap segala tindakannya kerana sering diperhatikan oleh Tuhannya dan akan sentiasa menjaga batas-batas kemurkaan Khaliq[1]nya. .

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, ‘’Di akhir zaman nanti ramai orang yang membaca al-Quran tetapi al-Quran itu sendiri yang melaknat mereka”. Inilah hakikatnya, apabila umat Islam sibuk membaca al-Quran sahaja tetapi dalam masa yang sama lalai akan setiap perintah tuhan didalamnya. Apakah kita merasakan diri kita terlepas dari laknat kalamullah ini? Bagaimanakah dengan ayat Quran, “Ingatlah bahawa laknat Allah itu atas orang-orang yang berdusta”. Apakah kita tidak berdusta apabila berkata kita takut akan Allah padahal di hati kita langsung tiada tempat untuk Allah. Sejauh manakah kita takut akan Allah dan sejauh manakah kita takut akan makhluknya yang melata di bumi? Inilah hal yang perlu direnungkan wahai anak-anak remajaku sekalian. Kita tidak boleh menipu Allah dengan dakwaan taqwa. Allah Maha Mengetahui apa yang ada di dalam hati kita.

Wahai anak-anak remajaku yang mengidamkan syurga-Nya,

Semailah dan didiklah hati kalian untuk takut akan Allah dengan sebenar-benar takut. Sesungguhnya tiada sesuatu yang patut kita takuti melainkan takut akan Allah. Jadikan mukjizat al-Quran yang masih kekal ini sebagai panduan dan petunjuk untuk kita meneruskan sisa hidup kita dalam mencari redha Allah. Dunia ini bukannya tempat untuk kita beristirehat dan bukannya tempat untuk bersenang-lenang malah umur kita akan dipersoalkan semula oleh Allah ke mana ia digunakan, harta kekayaan yang kita miliki akan juga akan disoal ke mana ia dilaburkan. Segalanya apa yang kita miliki akan kita dipertanggungjawabkan di hadapan Allah kelak. Ingatlah wahai remajaku, gunakanlah mukjizat ini dengan sebaiknya dengan menuruti segala ajarannya serta berakhlak dengannya sebagaimana akhlak seorang insan agung yang memegang kunci syurga-Nya iaitu Nabi Muhammad s.a.w.. Sedarlah, sesungguhnya ramai orang yang membaca al-Quran tetapi hanya sedikit yang memperoleh Nur daripada bacaan ayat-ayat suci al-Quran tersebut.

Tuntasnya ayahanda ingatkan remajaku lazimkan diri membaca al-Quran pada setiap hari dan beriman serta beramallah dengan keseluruhan isi kandung mukjizat Allah ini. Semoga kalian semua mendapat berkat, rahmat dan keampunan dari Allah s.w.t.

Menjala ikan di tepi titi,

Bawa bersama sebatang joran;

Tenang jiwa indah pekerti,

Baik insan kerana al-Quran.



[1] al-Khaliq = Tuhan Yang Maha Pencipta.

Friday, March 2, 2012

KURSUS KEPIMPINAN TAHAP 1/2012





Pada hari Khamis, 01 MAC 2012, kursus kepimpinan telah diadakan untuk ketua kelas, penolong ketua kelas, pengawas sekolah dan pengawas perpustakaan.

Kursus yang bertempat di Dewan Kejora ini melibatkan pemimpin dari Tahun 1 hingga Tahun 3. Antara ceramah yang disampaikan ialah "Ciri-ciri Pemimpin Berkesan", "Disiplin Seorang Pemimpin" dan latihan dalam kumpulan.

Kursus tersebut tamat dengan jayanya pada pukul 12.45 tengahari.

"Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan kamu semua bertanggungjawab terhadap orang di bawah jagaanmu." ( Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Tuesday, February 28, 2012

IKUTI KUIZ BAHASA INGGERIS ONLINE


Here is another good English quiz for UPSR students.

Click here to link to Beginning English Grammar Review Quiz - 1

This are 45 quiz questions, each question tests a different, important beginning English learning point.

Choose the correct word or phrase to complete the English grammar question. Each question has only one correct answer. When you are finished click on the "Next Question" button. At the end of the quiz, you will receive quiz feedback.

(sample question)

Para pelajar, sila layari www.upsr-today.com

Saturday, February 25, 2012

PERANAN AKAL APABILA MEMBUAT PERKIRAAN.


“Dan (pada) pertukaran malam dan siang silih berganti dan juga (pada) rezeki yang diturunkan oleh Allah dari langit, lalu Dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta (pada) peredaran angin, (semuanya itu mengandungi) tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah, kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, serta keluasan rahmatNya) bagi kaum yang mahu menggunakan akal fikiran.”

Surah al-Jatsiah: 5

Wahai para remaja, anak-anakku yang dirahmati Allah sekalian,

Dalam hidup kita perlu menggunakan akal dalam mengendali, mengurus dan merancang kehidupan. Kita Islam. Ada perkiraan dosa, pahala ,syurga dan neraka. Kita tidak boleh membuat perkiraan dalam hidup hanya untuk diberi kepuasan kepada nafsu dan tuntutan dunia semata-mata. Apabila kita hanya berfikir berasaskan nafsu dan material[1] , maka sudah pasti kita tersilap perkiraan. Mengapa?

Dunia yang kita pijak ini ialah dunia yang bersifat kebendaan dan tidak abadi. Apabila tiba masanya yang baru akan menjadi lapuk, yang baik akan menjadi buruk dan yang putik akan gugur. Jasad kita akan hancur bersama alam ini apabila berlaku kiamat. Hancur alam ini akan digantikan dengan alam yang baru, Padang Mahsyar, syurga dan neraka. Sebaliknya hancur jasad kita akan dibangkitkan semula untuk menerima balasan atas apa yang dilakukan di dunia.

Ingat-ingatlah, hidup di dunia paling lama 100 tahun lebih. Malah apabila umur masuk 60 tahun pun badan sudah terasa sakit, tidak larat melakukan kerja berat dan menderitai pelbagai penyakit. Ada yang sakit urat dan sendi dan ada yang terlantar berpanjangan. Sedangkan hidup di akhirat kekal abadi. Jadi logikkah kita memberi prioriti[2] kepada kehidupan yang singkat berbanding dengan kehidupan yang kekal berpanjangan?

Wahai remaja yang berpandangan jauh ke depan,

Di medan perang, tentera mengatur strategi untuk mengalahkan musuh. Strategi yang baik dan berkesan memerlukan perkiraan yang penuh fakta, maklumat, hujah dan bijaksana. Dengan strategi yang berimpak tinggi barulah, kejayaan berjaya diraih. Begitulah sepatutnya kira membuat perkiraan dalam kehidupan. Apabila prioriti diberikan kepada kehidupan yang kekal abadi dengan nikmat syurga di akhirat, tidak bermakna kita meminggirkan keperluan dunia. Sedangkan Allah menyuruh kita mencari dan berdoa untuk kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Pendekatan yang patut kita ambil dalam perkiraan kita ialah ‘dunia dikelek, akhirat dijunjung’. Kedua-dua kita bawa bersama tanpa meninggalkan satu daripadanya. Cuma yang penting diletakkan pada tempat yang tinggi dan mulia manakala yang kedua penting diletakkan pada posisi yang rendah sedikit. Begitulah seterusnya. Dan jangan sekali-kali perkara-perkara kecil diletakkan pada tingkat teratas dalam minda kita. Semoga anak-anakku faham akan panduan hidup yang ayahanda berikan.

Kata Mutiara:

Allah meletakkan otak dalam tempurung kepala yang kukuh, bukan dalam tempurung lutut yang terdedah kepada rebah dan jatuh.



[1] Material = benda.

[2] Prioriti = keutamaan