Tuesday, November 17, 2009

APABILA MEMBUAT PERKIRAAN.


Wahai para remaja, anak-anak didikku yang dirahmati Allah sekalian,
Dalam hidup kita perlu menggunakan akal dalam mengendali, mengurus dan merancang kehidupan. Kita Islam. Ada perkiraan dosa, pahala ,syurga dan neraka. Kita tidak boleh membuat perkiraan dalam hidup hanya untuk direlevankan dengan tuntutan dunia semata-mata. Apabila kita hanya memikirkan berasaskan dunia fana, maka sudah pasti kita tersilap perkiraan. Mengapa?

Dunia fana’ ialah dunia yang bersifat kebendaan dan tidak abadi. Ada masanya yang baru akan menjadi lapuk, yang baik akan menjadi buruk dan yang putik akan gugur apabila tiba saat yang ditentukan oleh Allah s.w.t.

Ingat-ingatlah, hidup di dunia paling lama 100 tahun. Malah apabila umur masuk 60 tahun pun badan sudah terasa sakit, tidak larat melakukan kerja berat dan menderitai pelbagai penyakit dari penyakit urat yang melenguhkan hinggalah terlantar yang berpanjangan. Sedangkan hidup di akhirat kekal abadi. Jadi logikkah kita memberi prioriti kepada kehidupan yang singkat berbanding dengan kehidupan yang kekal berpanjangan?

Wahai remaja yang berjiwa pahlawan,
Di medan perang, tentera mengatur strategi untuk mengalahkan musuh. Strategi yang baik dan berkesan memerlukan perkiraan yang penuh fakta, maklumat, hujah dan bijaksana. Dengan strategik yang berimpak tinggi barulah, kejayaan berjaya diraih. Begitulah sepatutnya kira membuat perkiraan dalam kehidupan. Apabila prioriti diberikan kepada kehidupan kekal abadi dengan nikmat syurga di akhirat, tidak bermakna kita meminggirkan keperluan dunia. Sedangkan Allah menyuruh kita mencari dan berdoa untuk kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Pendekatan yang patut kita ambil dalam perkiraan kita ialah ‘dunia dikelek, akhirat dijunjung’. Kedua-dua kita bawa bersama tanpa meninggalkan satu daripadanya. Cuma yang penting diletakkan pada tempat yang tinggi dan mulia manakala yang kedua penting diletakkan pada posisi yang kedua terpenting. Semoga anak-anak didikku faham akan panduan hidup yang
diberikan.

Kata Mutiara:
Allah meletakkan otak dalam tempurung kepala yang kukuh, bukan dalam tempurung lutut yang terdedah kepada rebah dan jatuh.

Tuesday, November 10, 2009

UNTUK APA IBU BAPA KITA?



Putera-puteri yang diberkati Allah,
Kalian hanya mempunyai seorang ibu dan seorang ayah. Tiada dua dan tiada tiga. Itulah satu-satunya ibu yang mengandung kalian. Itulah satu-satunya ayah yang membesarkan kalian. Sekiranya mereka sudah tiada, maka tiadalah ganti yang sama seperti mereka. Orang lain boleh memberi kasih sayang. Orang lain boleh memberi makan. Tetapi orang lain tidak boleh mengalirkan darah yang sama ke dalam tubuh kalian. Dan yang lebih utama ialah taraf keibubapaan yang Allah berikan hanya kepada ibu dan bapa kandungmu.

Hargailah ibu dan bapa selagi mereka masih ada. Memandang wajah ibu dan bapa dengan penuh hormat dan kasih sayang adalah ibadat. Apalagi kalian mengembirakan hati mereka dengan sikap ramah, pemurah, ringan tulang dan mengikut nasihat-nasihat yang baik daripada mereka. Alangkah bahagianya hati kedua ibu bapa. Kata orang; sejuk perut ibu mengandung, sejuk mata ayah memandang.

Anak-anak didik yang dikasihi sekalian,
Hendaklah kalian menjadi anak-anak yang soleh dan solehah; yang sentiasa mendoakan kesejahteraan ibu dan ayah. Janganlah sekali-kali kalian menderhakai mereka baik dengan ucapan, perbuatan dan kerlingan mata. Anak yang baik tidak akan menghantar ibu dan bapanya menghabiskan masa-masa tua di rumah-rumah kebajikan. Anak-anak yang beriman tidak akan saling menolak dari menjaga mereka ketika mereka tua. Anak-anak yang mulia tidak akan jijik untuk mengangkat hadas untuk mereka. Anak-anak yang menjadi penyejuk mata hati akan berebut-rebut untuk berbakti kepada mereka. Jika ayah yang mati dahulu, berbaktilah kepada ibumu yang kesunyian tidak berteman. dan sekiranya ibumu yang pergi dulu, berbaktilah kepada ayahmu yang kehilangan.

Anak-anak remaja yang dikasihi,
Ketika usia kalian semakin meningkat, usia mereka juga semakin meningkat. Meningkatnya usia kalian memberi makna bertambahnya cabang dan ranting kehidupan. Tetapi bertambahnya usia mereka bermakna panggilan pusara semakin terngiang-ngiang di telinga mereka. Dalam keadaan anak-anakku sibuk menguruskan kehidupan dan merealisasikan harapan, mereka senyap-senyap menyahut panggilan dari Tuhan. Maka selagi mereka masih bernafas, rebutlah peluang untuk berbuat baik kepada mereka. Dan apabila ibu bapa telah meninggalkan kita, pintu untuk berbuat baik kepada mereka tidak pernah tertutup bagi anak yang soleh. Kalian boleh berdoa untuk mereka sepanjang masa.Semoga mereka damai di alam barzakh berkat doa-doa kalian.

Monday, November 2, 2009

PERISAI MENGHARUNGI ZAMAN REMAJA


Percayalah anak-anak didikku sekalian bahawa kalian akan selamat mengharungi zaman remaja yang mencabar ini sekiranya kesilapan kalian tidak melampau. Dan kesilapan itu tidak akan menjadi terlampau dengan syarat kalian menghargai yang satu iaitu SOLAT YANG SEMPURNA. Jangan ditinggalkan solat 5 waktu. Lakukanlah dengan istiqamah. Lakukanlah dengan sempurna syarat sah dan rukunnya. Jaga khusyuknya. Pelajari hukum-hakamnya. Laksanakan solat yang terbaik.

Solatlah yang akan menjadi perisai yang akan menjaga kalian dari keterlanjuran. Solatlah yang akan membentuk iman dan jatidiri kalian. Solatlah yang akan membawa kalian keluar dari kecelaruan zaman remaja ke zaman dewasa yang lebih terurus dan bertanggungjawab. Solatlah yang akan menukar imej kalian di suatu hari nanti apabila kalian sudah semakin matang. Anak-anak remajaku akan berdiri gagah dan megah serta meraih penghormatan dari masyarakat. Percayalah pada masa depan yang indah sekiranya kalian menjaga dan melaksanakan solat yang sempurna.


Anak-anak didik yang dikasihi sekalian,
Cikgu sentiasa berdoa agar kalian menjadi anak-anak yang menjadi penyejuk mata hati. Anak yang menjadi penyejuk mata hati ialah anak-anak baik akhlaknya, soleh amalnya, tingginya ilmu dan kelulusannya dan berjaya hidupnya di dunia sampai akhirat. Cikgu yakin selagi kalian jaga solat 5 waktu (tanpa disuruh), betul bacaan dan khusyuk dan dilakukan dengan terbaik, insya-Allah sinar kebahagiaan menanti kalian.

Monday, October 26, 2009

KITA HARUS HAIRAN DENGAN KEBERATAN MULUT KITA.


Putera-puteri Islam yang dikasihi sekalian,
Sedarilah bawa mulut kita yang merangkumi bibir, lidah dan gigi adalah antara anggota yang paling ringan berbanding dengan kaki, tangan dan kepala. Gerakannya pula melibatkan otot-otot yang amat kecil dan pergerakan yang ringan. Perhatikan semasa kita bercakap; sejauh mana gerakan lidah dan dua bibir. Berapa peratuskah tenaga yang digunakan untuk menggerakkannya. Malah sekiranya kita berkata-kata dengan perlahan, orang yang berada di sekeliling kita pun tidak menyedarinya.

Ketahui oleh anak-anak didikku sekalian bahawa antara fungsi mulut yang paling utama ialah berzikrullah. Tetapi sayangnya kita malas pula menggunakan mulut untuk melafazkan ayat-ayat yang mulia itu, sedangkan kita boleh bercakap berjam-jam tanpa henti untuk hal-hal yang tidak berfaedah. Dari mula bangun tidur hingga ke saat mata terlelap, banyak mana lidah digunakan untuk hal-hal keduniaan dan banyak mana pula lidah digunakan untuk memuji dan memuja Allah, Tuhan yang kita akan hadapi di Padang Mahsyar kelak?

Ketika duduk keseorangan sama ada ketika memandu, bersiar-siar dan berehat, kita lebih suka berdiam dan memberi rehat kepada lidah kita. Kononnya pada waktu-waktu lain lidah kita sudah banyak bekerja dan berkomunikasi dengan manusia lain. Habis, bilakah kita nak bersibuk-sibuk dengan Allah melalui lidah kita yang ringan itu?

Contohnya, cuba analisis kata-kata “lailaha illaLah” pada lidahmu. Huruf-hurufnya terdiri daripada huruf-huruf hijaiyah yang ringan sebutannya. Antaranya, huruf ‘alif’, ‘lam’ dan ‘ha’. Apabila kita melafazkannya secara perlahan, bibir tidak bergerak pun. Yang bergerak hanyalah hujung lidah. Ini bermakna apabila kita bertahlil di kalangan orang ramai pun, mereka tidak akan sedar bahawa kita sedang berzikir. Tiada peluang riak langsung. Hanya kita dengan Allah sahaja meskipun orang lain berada di sekeliling kita. Fikirkan bagaimana Allah telah aturkan satu kalimah suci yang mudah untuk hamba-Nya melazimkan pada lidah-lidah mereka. Tetapi sejauh mana manusia berfikirkan tentang ini.

Anak-anak didikku sekalian,
Pesanku; lazimkanlah lidahmu dengan zikrullah. Basahi lidah sentiasa dengan lafaz-lafaz suci dan mulia yang mengundang kasih sayang dan keampunan dari Allah. Jangan bazirkan nasihat yang amat berguna ini.

Thursday, October 15, 2009

Untuk Apakah Kita Perlu Berterima Kasih kepada Guru Kita?




Pelajar-pelajar yang terpelajar sekalian,
Kejayaan kita ketika dewasa nanti bukan datang begitu sahaja. Kejayaan itu melalui satu proses yang panjang. Proses itu telah diambil peranannya oleh salah satu pihak yang mungkin kita tidak temui lagi pada waktu dewasa kita. Mereka ialah guru-guru kita. Guru-guru yang dimaksudkan ialah guru-guru sekolah, guru-guru Quran dan guru-guru kelas fardhu ain. Malah sesiapa sahaja yang pernah mengajar dan mendidik kita, adalah guru kita yang pernah mencurahkan jasanya kepada kita.

Dalam proses menitiskan ilmu, guru telah berusaha keras untuk melihat kita berjaya dan menjadi manusia yang berguna suatu hari nanti. Mereka mendidik dan menjaga kita di sekolah seperti anak mereka sendiri. Mereka menyambut kejayaan kita dalam peperiksaan seperti kejayaan anak-anak mereka sendiri. Yang anehnya, mereka tak akan dapat sesuatu dari kita.

Berjayanya seorang anak akan memanfaatkan ibu bapa. Ibu bapa mungkin dibantu apabila semakin tua. Hadiah akan dihulurkan dari semasa ke semasa. Sebahagian pendapatan kita mungkin digunakan untuk menampung keperluan ibu bapa yang kesempitan. Tetapi guru-guru kita tidak akan mendapat apa-apa. Malah kita pun tidak akan tahu di mana mereka berada pada masa itu. Entah mereka masih hidup, menderita sakit atau telah lama meninggalkan dunia yang fana’ ini. Yang mereka dapat ialah sekadar ucapan terima kasih ketika kita masih bersekolah dulu. Itu pun kalau kita tidak loket untuk mengucapkan terima kasih.

Putera-puteri harapan agama sekalian,
Mungkin ada kesilapan guru-guru kita dalam mendidik kita. Mungkin kita pernah malu dan tercabar dengan tindakan mereka. Tetapi semua itu apalah nilaiannya jika hendak dibandingkan dengan kejayaan kita. Mereka secara kolektif telah menghadiahkan kebahagiaan kepada kita yang akan kita rasai sehingga akhir hayat kita. Malah ilmu khususnya ilmu agama akan menyelamatkan kita di akhirat kelak. Alangkah besarnya jasa mereka itu berbanding kesilapan mereka yang sedikit. Justeru itu, maafkanlah mereka jika mereka tersilap dan berdoalah untuk mereka.

Ingatlah bahawa kita pernah memohon restu mereka sebelum menghadapi peperiksaan. Mereka telah merestui kita tanpa pilih kasih. Apabila kita telah dewasa dan berjaya nanti, apakah sikap dan pengorbanan kita untuk mereka? Tidak mampukah kita menghadiahkan kepada mereka doa dan alfatehah sekurang-kurangnya? Fikir-fikirkan.

Wednesday, October 14, 2009

BIJAKLAH MENGURUSKAN MASA



Para pelajar yang dikasihi sekalian,
Antara kelemahan utama bangsa kita ialah gagal menepati masa. Kalau mesyuarat atau majlis pukul 9.00 pagi, maka orang dating pukul 9.30 pagi. Kalau usrah patut bermula pada pukul 9.00 malam, maka pukul 9.30 malam baru boleh bermula. Begitulah juga dalam segala aktiviti dan program hidup bangsa kita. Inilah salah satu aspek kelemahan dalam pengurusan masa.

Masa hendaklah diurus dengan baik. Bukan sahaja kita mesti menepati masa malah mengatur masa kita dalam kehidupan harian dengan sempurna. Pengurusan masa harian yang sempurna bermula dengan bangun pagi awal untuk solat Subuh dan berakhir dengan mula tidur antara pukul 11.00 hingga 12.00 malam agar cukup tidur untuk bangun keesokannya untuk solat Subuh.

Antara Subuh dan waktu tidur malam tadi, sewajarnya disusun dengan aktiviti, program dan rutin yang bermanfaat sesuai dengan masanya. Masa umpama kertas lukisan. Pada kertas itulah kita mengatur warna dan corak yang sesuai agar lukisan yang terhasil indah dan berkualiti. Masa yang dibazirkan umpama kertas lukisan yang ada ruang-ruang yang tidak diwarnakan. Lukisan ini boleh dianggap tidak sempurna atau gagal disiapkan. manakala masa yang diisikan dengan aktiviti negative dan pengurusan masa yang tidak teratur umpama lukisan yang berkecamuk, salah warna dan comot.

Pelajar mesti ambil berat tentang pengurusan masa ini. Belajarlah menepati masa walaupun bangsa kita terus meremehkannya. Gagal menepati masa samalah gagal menepati janji. Mungkir masa = mungkir janji. Munafik namanya. Muslim yang baik adalah muslim yang tahu menguruskan masa dan menepatinya. Insya-Allah, masa depan dan kehidupan menjadi baik bagi orang yang pandai menguruskan masa.

Sunday, October 11, 2009

Monday, October 5, 2009

Sunday, October 4, 2009

ANDA SUKAR CEMERLANG, JIKA CUAI.



Para pelajar semua khususnya calon PMR yang diharapkan kejayaan,
Kalaulah ada buah tangan yang cikgu dapat berikan dan bekalkan bersama pelajar ke dalam dewan peperiksaan, maka buah tangan itu ialah "pesanan agar JANGAN CUAI".

Pastikan jangan cuai apa-apa pun baik dari segi menjawab, mengira, membaca arahan soalan, melihat bilangan mukasurat soalan, menanda dan menulis jawapan, melihat jadual peperiksaan, menulis angka giliran dan sebagainya.

Kecuaian yang sedikit amat besar kerugiannya. Kecuaian menyebabkan pelajar star tak dapat "straight A". Yang patut dapat B, tak dapat B. Yang patut dapat ke sekolah asrama penuh, tak dapat masuk. Yang patut dapat hadiah, tak dapat hadiah. Begitulah seterusnya.

Ramai orang terkesan oleh CUAI. Ada yang banyak cuainya dan ada yang sedikit cuainya. Semua rugi. Agar tidak CUAI, berdoa, berhati-hati, jangan gopoh dan kelam kabut dan semaklah. Tenang dan fokus. Sekian. Kejayaan dan kecemerlangan semoga bersama pelajar sekalian.

Tuesday, September 29, 2009

TIPS KAEDAH JAWAB SOALAN



Menjawab soalan memerlukan strategi juga. Strategi amat penting dalam ilmu peperangan, perniagaan dan perancangan. Di sini cikgu berikan sedikit panduan ketika menjawab soalan. Sebahagiannya pelajar sudah tahu, cuma perlu diamalkan sahaja.

1. Jawab ikut kronologi(nombor) soalan dengan menjawab soalan mudah. Jawab soalan mudah TETAPI jangan pilih soalan mudah. Apabila jumpa soalan susah, jawab kemudian selepas semua soalan lain dijawab. Ini demi mengelak masa terbuang ketika menjawab soalan susah.

2. Cari purata masa jawab bagi satu soalan. Contohnya, jika masa 1 jam untuk 30 soalan maka, purata satu soalan ialah 2 minit. Ini penting agar kita dapat menyiapkan semua jawapan sebelum masa tamat. Dengan itu tidak berlaku kes TIDAK SEMPAT SIAP. Untuk ini, pelajar mesti selalu merujuk jam tangan atau jam dinding.

3. Jika tidak dapat jawab, jangan biarkan ruangan jawapan kosong atau tidak ditanda. Jangan juga pakai 'tikam'. Gunakanlah akal dan naluri kerana akal dan naluri mungkin dapat membantu kita tanpa sedar untuk mendapat jawapan.

4. Berdoa juga satu strategi. Tetapi berdoalah dengan rendah hati, penuh harapan kepada Allah dan menghayati doa kita. Yakinlah dengan hadis Nabi s.a.w. yang mengatakan bahawa DOA ialah senjata para mukmin.

Sekian sekadar bantuan menjawab dari cikgu. Cikgu doakan semua berjaya dengan cemerlang.

Thursday, September 10, 2009

UCAPAN SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 1430H



Manis jari bercincin suasa,
Becermin mata nampak bergaya,
Apalagi kalau berkereta;
Sebulan sudah kita berpuasa,
Kini tiba hari yang mulia,
Tangan dihulur maaf dipinta.

Cikgu ucapkan Selamat Hari Raya untuk semua anak murid cikgu. Berbahagia dan bergembiralah diiringi rasa syukur kepada Allah Ta’ala. Cikgu memohon maaf dan halal atas kesegala kesalahan dan kesilapan. Jemput ke rumah cikgu, tapi telefon dulu 0132226489.






.

PENGUMUMAN PENTING UNT. SEMUA PELAJAR

Saturday, September 5, 2009

SUMBANGAN ANDA UNTUK MATHS

1. Berikan pasangan popular panjang sisi mengikut Pythagoras Teoram.

2. Setiap orang pelajar, sila berikan formula luas, perimeter, volume serta rumus-rumus lain. Cikgu beri satu contoh:-
a) Volume of a cube, V = length X length X length

Thursday, September 3, 2009

MARI KITA MENJADI ORANG YANG SELAMAT.



Anak didikku sekalian,
Orang yang paling cerdik ialah orang yang paling banyak mengingati mati. Apabila kita mengingati mati, maka kita akan tahu titik akhir kehidupan kita. Ruang nasib kita seterusnya ialah ruang kubur dan padang permainan kita seterusnya ialah Padang Mahsyar. Destinasi terakhir ialah SYURGA atau NERAKA.

Destinasi terakhir itu ditentukan oleh sikap, amalan, niat dan matlamat kita pada hari ini. Sebenarnya, kini kita sedang mencipta jalan ke destinasi itu. Ramai orang dan mungkin termasuk kita tidak menjadikan destinasi itu sebagai agenda penting dalam hidup kita sehari-hari. Sebab itulah kita cuai solat, malas baca Quran dan berzikir, malas bertaubat dan beristighfar dan kedekut untuk bersedekah. Sebaliknya, kita lebih tekun mendengar lagu, membaca buku dan menonton Tv, lebih bersemangat bercerita hal orang lain, dan sebagainya.

Putera-puteriku sekalian,
Bukankah matlamat kita adalah untuk berkumpul di dalam syurga? Bukankah kasih sayang di dunia ini akan putus dengan berlakunya kematian. Kematian bermakna tubuh badan kita terpisah, nasihat terpisah dan kasih sayang terpisah. Terpisah buat selama-lamanya. Allah telah menjanjikan bahawa hanya penghuni syurga sahaja yang dapat bertemu semula, berkumpul dan hidup bahagia tanpa selisih dan sengketa. Maka, marilah kita melihat telapak kaki kita, melihat arah langkahnya. Masihkah kita berada pada landasan dan hala yang benar, atau adakah kita semakin hari semakin terkeluar dan terpesong?

Tuntasnya, SOLAT FIRST, ISLAM FIRST.

Tuesday, September 1, 2009

MUHASABAH DAN JIHAD



Para pelajar yang dikasihi sekalian,

Manusia tidak pernah sempurna. Sifat sempurna hanyalah milik Allah. Ini bermakna, sebagai insan, kita mempunyai kekurangan. Kita akan hanya sedar kekurangan kita apabila kita sentiasa muhasabah yakni menghisab diri.

Muhasabah adalah kerja orang-orang yang beriman. Seperti kata yang masyhur, "hisablah diri kamu sebelum kamu dihisabkan". Cikgu harap anak-anak didik selalu bermuhasabah. Ambillah masa lapang atau waktu hampir melelapkan mata untuk memikirkan tentang nasib dan hala tuju diri.

Kenalpasti kekurangan dan kelemahan diri kita. Fikir faktor-faktor dan jalan mengatasinya. Ambil langkah-langkah yang teratur untuk membaiki kelemahan itu. Dan yang pastinya perlu ada daya juang dan jihad untuk membaiki diri. Bukan senang kita mahu ubah sikap dan tabiat. Sikap dan tabiat apabila set perlakuan yang sama yang telah dilakukan dalam jangka masa yang begitu lama. Akhirnya perlakuan itu menjadi sikap dan tabiat.

Oleh sebab sikap dan tabiat itu telah melalui proses yang lama, maka proses untuk mengubahnya juga terpaksa melalui jangka masa yang panjang. Justeru itu, anak-anak didik mesti istiqamah (tetap pendirian) dan berjihad (melawan nafsu yang cuba menggagalkan usaha. Sukar untuk merubah tabiat dan sikap tanpa JIHAD NAFSU.

Saturday, August 29, 2009

TEKA-TEKI DALAM BUDAYA CINA



Diharap pelajar-pelajar atau pengunjung berbangsa Cina dapat memberi beberapa contoh teka-teki dalam budaya Cina untuk dikongsi dalam 1Malaysia. Diharap Tseu Yi Jien atau sesiapa sahaja mulakan. Mulakan dibawah dengan cara edit post ini.

Friday, August 28, 2009

PERSAMAAN HADI DENGAN ANDAYU

Taat akan agama:-
Hadi - mendirikan solat di dalam hutan bersama dengan peserta ekspedisi.
Andayu - mengerjakan solat sebelum pergi ke tempat berlatih silat.

Taat akan orang tua:-
Hadi - dia mengikut nasihat dan arahan Pak Musa yang memimpin ekspedisi.
Andayu - mengikut nasihat dan arahan Paduka Mat Salleh yang memintanya pulang ke Inanam untuk menyelamatkan pejuang yang cedera.

MARI BELAJAR POSTING

Hari ini Shahirah, Naimah, Shahir dan Azlan belajar posting.

Thursday, August 27, 2009

JOM SENARAIKAN LATAR TEMPAT DALAM "TIMULAK KAPAL PERANG".



Cikgu nak tengok berapa orang aktif buka blog ini. Seorang pelajar beri satu sahaja. Editkan post ini untuk beri jawapan (sambung di bawah). Cikgu beri dulu:-

1. Pulau Gaya - di sini terdapat pusat tahanan Inggeris. Pak Cik Tidung dan pengikut Paduka Mat Salleh ditahan dan diseksa di sini. Berlaku pertempuran apabila Paduka Mat Salleh dan pengikutnya menyerang untuk membebaskan Pak Cik Tidung dan para tahanan.

2. Daerah Inanam - tempat di mana Andayu dan rakan-rakannya membantu Paduka Mat Salleh berjuang menentang pihak Inggeris yang cuba campur tangan dalam hal ehwal ekonomi dan politik di kampung tersebut.

{Sila sambung}.

3. Teluk Merudu - Tempat perlindungan sementara bagi semua penduduk kampung dan para pejuang selepas daerah Inanam diserang oleh pihak Inggeris. (izzahnadzrina )

4. Pangkalan Sungai Sugut - Pergaduhan antara Pak Cik Tidung dan rakan-rakannya dengan pegawai Inggeris kerana membantu pedagang yang dipaksa membayar cukai. Penawanan Pak Cik Tidung dan rakan-rakannya oleh pihak Inggeris. (izzahdzahirah)

5. Di rumah Paduka Mat Salleh - berlaku berbincangan antara beliau dengan Pacik Tidung untuk bertindak terhadap penjajah Inggeris. (Shahir Syafaat)



Wednesday, August 26, 2009

JOM JAWAB TEKA-TEKI INI



1. Apakah dia: Sebut sekali duduk di luar, sebut dua kali duduk di dalam.
2. Emak saya beranakkan saya. Tua saya dari emak saya. Kalau nak tahu, tanyalah
emak saudara saya. Siapa saya?
3. Apabila kita berjalan, dia kena ikat. Apabila di rumah, dia kena buka. Apakah dia.

Jawapan:
1. Langit ( Shahirah).

Tuesday, August 25, 2009

MERENDAH DIRI - sifat terpuji.



Mulia hati manusia yang suka merendah diri. Tetapi lebih mulia manusia yang merasakan dirinya rendah.



Yg warna merah itu cara penyelesaiannya.
Sebelum dapat cari ED, cari pjg DB dulu. Untuk itu apply sin x. Kemudian guna pasangan popular.
Kemudian, cari pjg AB dan apply tan y. Akhirnya, dpt cari EB. Unt cari ED = EB - DB di atas.

Monday, August 24, 2009










Gambar sebahagian pelajar Tingkatan 3 yang hadir pada 23.08.09

Sunday, August 23, 2009

KUNCI ILMU YANG DITAKUTI OLEH PELAJAR



Semua pelajar tahu bahawa "bertanya" itu kunci ilmu pengetahuan. Tapi jarang pelajar berani bertanya. Ada juga tak tahu bertanya. Ada yang takut salah atau diketawakan atau dianggap tidak tahu.

Dalam kelas cikgu ada beberapa orang pelajar yang suka bertanya. Sekadar contoh, Afini Izzati, Yong H. Zhien, Adila Afiah, Fatin Amirah dan Ahmad Faizzudin. Orang lain pun ada bertanya tapi jarang-jarang.

Apa salahnya kita amalkan sifat suka bertanya baik ketika tuisyen atau di sekolah. Kalau kita dah tahu bertanya itu kunci ilmu, maka mengapa takut sangat nak gunakan kunci itu. Tuisyen pula berbayar, bukan free. Jadi gunakanlah hak untuk bertanya tu sehingga faham dan pandai.

Saturday, August 22, 2009

KERJA DAKWAH ADALAH KERJA SETIAP UMAT ISLAM.



Cikgu berpesan kepada semua pelajar agar menjalankan misi dakwah mengikut cara masing-masing. Jadikan kita agen Allah dalam membawa manusia dekat kepada-Nya. Mudah sahaja. Tunjukkan amalan yang baik yang boleh menyebabkan orang ikut kita melakukannya. Ajak kawan solat jemaah, tegur kesilapan kawan dengan cara bijaksana, beritahu kebenaran, tulis sesuatu untuk orang baca dan seumpamanya.


Kita kena fikir; kalau kita tidak menjalankan misi dakwah yang telah dilaksanakan oleh para Rasul, maka kepada siapa lagi hendak diamanahkan kerja mulia ini? Nak suruh orang kafir berdakwah? Tentu tak masuk akal.


Sedarilah akan tugas yang semakin dipinggirkan oleh muslim ini. Sebab itulah Cikgu peringatkan kepada anak didik kerana Cikgu mahu misi dakwah yang pernah dan sedang (dan insya-Allah selagi nyawa dikandung badan) Cikgu lakukan akan disambung dan diperhebat oleh para pelajar pula. Sewajarnya kita berusaha melahirkan agen-agen dakwah di bawah kita pula. Bukankah agen-agen maksiat begitu ramai dan aktif mutakhir ini. Maka para agen dan tentera Allah muslimin dan muslimat mesti lebih tegar dan berani berdepan dengan mereka. Sekian.

CUAI = buang markah secara percuma



Apa khabar pelajar semua,

Ketahuilah bahawa CUAI adalah musuh kita dalam peperiksaan. Apabila kita cuai, maka jawapan kita salah dan tiada markah untuknya. CUAI bermakna kita salah dalam keadaan kita tahu cara menjawab dan jawapannya. Dalam Matematik, CUAI berlaku dalam 3 bentuk:-


1. Cuai ketika menyalin soalan.

2. Cuai ketika mengira.

3. Cuai ketika menanda jawapan.


Cara mengelak CUAI ada 3:-

1. Berhati-hati (tenang).

2. Semak

3. Berdoa


Kalau pelajar tidak CUAI, pelajar akan dapat markah maksimum mengikut potensi pelajar. Ada yang mampu dapat markah 100% dan sebagainya. Justeru itu, ingat: JANGAN CUAI.

Thursday, August 20, 2009

Amalkan Kaedah Renungan


Ingatkah lagi belajar dengan "Kaedah Renungan"? Kaedah itu sangat membantu dalam proses memahami dan mengingati. Renungan ialah pandangan yang bermutu. Renungan melibatkan deria mata, deria akal dan telinga. Apabila ketiga-tiga deria ini digabungkan, sudah pasti proses menerima ilmu menjadi lebih baik.


Merenung ajaran guru bererti kita fokus. Kamera akan menghasilkan gambar yang cukup jelas jika fokusnya tepat. Begitulah juga proses belajar. Percayalah, jika pelajar selalu menggunakan kaedah ini, insya-Allah pelajar akan lebih memahami dan mengingati.

Apa khabar?

Cikgu dah buat blog ni untuk semua anak murid cikgu. Harap ramai yang aktif. Gunakan blog ini untuk hal pelajaran dan apa-apa sahaja yang baik untuk dikongsi bersama. Pelajar boleh masukkan rencana, gambar, video, kata hikmat, soalan, cadangan, aktiviti dsn. Pelajar juga boleh edit laman ini supaya lebih menarik.