Tuesday, November 17, 2009

APABILA MEMBUAT PERKIRAAN.


Wahai para remaja, anak-anak didikku yang dirahmati Allah sekalian,
Dalam hidup kita perlu menggunakan akal dalam mengendali, mengurus dan merancang kehidupan. Kita Islam. Ada perkiraan dosa, pahala ,syurga dan neraka. Kita tidak boleh membuat perkiraan dalam hidup hanya untuk direlevankan dengan tuntutan dunia semata-mata. Apabila kita hanya memikirkan berasaskan dunia fana, maka sudah pasti kita tersilap perkiraan. Mengapa?

Dunia fana’ ialah dunia yang bersifat kebendaan dan tidak abadi. Ada masanya yang baru akan menjadi lapuk, yang baik akan menjadi buruk dan yang putik akan gugur apabila tiba saat yang ditentukan oleh Allah s.w.t.

Ingat-ingatlah, hidup di dunia paling lama 100 tahun. Malah apabila umur masuk 60 tahun pun badan sudah terasa sakit, tidak larat melakukan kerja berat dan menderitai pelbagai penyakit dari penyakit urat yang melenguhkan hinggalah terlantar yang berpanjangan. Sedangkan hidup di akhirat kekal abadi. Jadi logikkah kita memberi prioriti kepada kehidupan yang singkat berbanding dengan kehidupan yang kekal berpanjangan?

Wahai remaja yang berjiwa pahlawan,
Di medan perang, tentera mengatur strategi untuk mengalahkan musuh. Strategi yang baik dan berkesan memerlukan perkiraan yang penuh fakta, maklumat, hujah dan bijaksana. Dengan strategik yang berimpak tinggi barulah, kejayaan berjaya diraih. Begitulah sepatutnya kira membuat perkiraan dalam kehidupan. Apabila prioriti diberikan kepada kehidupan kekal abadi dengan nikmat syurga di akhirat, tidak bermakna kita meminggirkan keperluan dunia. Sedangkan Allah menyuruh kita mencari dan berdoa untuk kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Pendekatan yang patut kita ambil dalam perkiraan kita ialah ‘dunia dikelek, akhirat dijunjung’. Kedua-dua kita bawa bersama tanpa meninggalkan satu daripadanya. Cuma yang penting diletakkan pada tempat yang tinggi dan mulia manakala yang kedua penting diletakkan pada posisi yang kedua terpenting. Semoga anak-anak didikku faham akan panduan hidup yang
diberikan.

Kata Mutiara:
Allah meletakkan otak dalam tempurung kepala yang kukuh, bukan dalam tempurung lutut yang terdedah kepada rebah dan jatuh.

Tuesday, November 10, 2009

UNTUK APA IBU BAPA KITA?



Putera-puteri yang diberkati Allah,
Kalian hanya mempunyai seorang ibu dan seorang ayah. Tiada dua dan tiada tiga. Itulah satu-satunya ibu yang mengandung kalian. Itulah satu-satunya ayah yang membesarkan kalian. Sekiranya mereka sudah tiada, maka tiadalah ganti yang sama seperti mereka. Orang lain boleh memberi kasih sayang. Orang lain boleh memberi makan. Tetapi orang lain tidak boleh mengalirkan darah yang sama ke dalam tubuh kalian. Dan yang lebih utama ialah taraf keibubapaan yang Allah berikan hanya kepada ibu dan bapa kandungmu.

Hargailah ibu dan bapa selagi mereka masih ada. Memandang wajah ibu dan bapa dengan penuh hormat dan kasih sayang adalah ibadat. Apalagi kalian mengembirakan hati mereka dengan sikap ramah, pemurah, ringan tulang dan mengikut nasihat-nasihat yang baik daripada mereka. Alangkah bahagianya hati kedua ibu bapa. Kata orang; sejuk perut ibu mengandung, sejuk mata ayah memandang.

Anak-anak didik yang dikasihi sekalian,
Hendaklah kalian menjadi anak-anak yang soleh dan solehah; yang sentiasa mendoakan kesejahteraan ibu dan ayah. Janganlah sekali-kali kalian menderhakai mereka baik dengan ucapan, perbuatan dan kerlingan mata. Anak yang baik tidak akan menghantar ibu dan bapanya menghabiskan masa-masa tua di rumah-rumah kebajikan. Anak-anak yang beriman tidak akan saling menolak dari menjaga mereka ketika mereka tua. Anak-anak yang mulia tidak akan jijik untuk mengangkat hadas untuk mereka. Anak-anak yang menjadi penyejuk mata hati akan berebut-rebut untuk berbakti kepada mereka. Jika ayah yang mati dahulu, berbaktilah kepada ibumu yang kesunyian tidak berteman. dan sekiranya ibumu yang pergi dulu, berbaktilah kepada ayahmu yang kehilangan.

Anak-anak remaja yang dikasihi,
Ketika usia kalian semakin meningkat, usia mereka juga semakin meningkat. Meningkatnya usia kalian memberi makna bertambahnya cabang dan ranting kehidupan. Tetapi bertambahnya usia mereka bermakna panggilan pusara semakin terngiang-ngiang di telinga mereka. Dalam keadaan anak-anakku sibuk menguruskan kehidupan dan merealisasikan harapan, mereka senyap-senyap menyahut panggilan dari Tuhan. Maka selagi mereka masih bernafas, rebutlah peluang untuk berbuat baik kepada mereka. Dan apabila ibu bapa telah meninggalkan kita, pintu untuk berbuat baik kepada mereka tidak pernah tertutup bagi anak yang soleh. Kalian boleh berdoa untuk mereka sepanjang masa.Semoga mereka damai di alam barzakh berkat doa-doa kalian.

Monday, November 2, 2009

PERISAI MENGHARUNGI ZAMAN REMAJA


Percayalah anak-anak didikku sekalian bahawa kalian akan selamat mengharungi zaman remaja yang mencabar ini sekiranya kesilapan kalian tidak melampau. Dan kesilapan itu tidak akan menjadi terlampau dengan syarat kalian menghargai yang satu iaitu SOLAT YANG SEMPURNA. Jangan ditinggalkan solat 5 waktu. Lakukanlah dengan istiqamah. Lakukanlah dengan sempurna syarat sah dan rukunnya. Jaga khusyuknya. Pelajari hukum-hakamnya. Laksanakan solat yang terbaik.

Solatlah yang akan menjadi perisai yang akan menjaga kalian dari keterlanjuran. Solatlah yang akan membentuk iman dan jatidiri kalian. Solatlah yang akan membawa kalian keluar dari kecelaruan zaman remaja ke zaman dewasa yang lebih terurus dan bertanggungjawab. Solatlah yang akan menukar imej kalian di suatu hari nanti apabila kalian sudah semakin matang. Anak-anak remajaku akan berdiri gagah dan megah serta meraih penghormatan dari masyarakat. Percayalah pada masa depan yang indah sekiranya kalian menjaga dan melaksanakan solat yang sempurna.


Anak-anak didik yang dikasihi sekalian,
Cikgu sentiasa berdoa agar kalian menjadi anak-anak yang menjadi penyejuk mata hati. Anak yang menjadi penyejuk mata hati ialah anak-anak baik akhlaknya, soleh amalnya, tingginya ilmu dan kelulusannya dan berjaya hidupnya di dunia sampai akhirat. Cikgu yakin selagi kalian jaga solat 5 waktu (tanpa disuruh), betul bacaan dan khusyuk dan dilakukan dengan terbaik, insya-Allah sinar kebahagiaan menanti kalian.