Thursday, October 15, 2009

Untuk Apakah Kita Perlu Berterima Kasih kepada Guru Kita?




Pelajar-pelajar yang terpelajar sekalian,
Kejayaan kita ketika dewasa nanti bukan datang begitu sahaja. Kejayaan itu melalui satu proses yang panjang. Proses itu telah diambil peranannya oleh salah satu pihak yang mungkin kita tidak temui lagi pada waktu dewasa kita. Mereka ialah guru-guru kita. Guru-guru yang dimaksudkan ialah guru-guru sekolah, guru-guru Quran dan guru-guru kelas fardhu ain. Malah sesiapa sahaja yang pernah mengajar dan mendidik kita, adalah guru kita yang pernah mencurahkan jasanya kepada kita.

Dalam proses menitiskan ilmu, guru telah berusaha keras untuk melihat kita berjaya dan menjadi manusia yang berguna suatu hari nanti. Mereka mendidik dan menjaga kita di sekolah seperti anak mereka sendiri. Mereka menyambut kejayaan kita dalam peperiksaan seperti kejayaan anak-anak mereka sendiri. Yang anehnya, mereka tak akan dapat sesuatu dari kita.

Berjayanya seorang anak akan memanfaatkan ibu bapa. Ibu bapa mungkin dibantu apabila semakin tua. Hadiah akan dihulurkan dari semasa ke semasa. Sebahagian pendapatan kita mungkin digunakan untuk menampung keperluan ibu bapa yang kesempitan. Tetapi guru-guru kita tidak akan mendapat apa-apa. Malah kita pun tidak akan tahu di mana mereka berada pada masa itu. Entah mereka masih hidup, menderita sakit atau telah lama meninggalkan dunia yang fana’ ini. Yang mereka dapat ialah sekadar ucapan terima kasih ketika kita masih bersekolah dulu. Itu pun kalau kita tidak loket untuk mengucapkan terima kasih.

Putera-puteri harapan agama sekalian,
Mungkin ada kesilapan guru-guru kita dalam mendidik kita. Mungkin kita pernah malu dan tercabar dengan tindakan mereka. Tetapi semua itu apalah nilaiannya jika hendak dibandingkan dengan kejayaan kita. Mereka secara kolektif telah menghadiahkan kebahagiaan kepada kita yang akan kita rasai sehingga akhir hayat kita. Malah ilmu khususnya ilmu agama akan menyelamatkan kita di akhirat kelak. Alangkah besarnya jasa mereka itu berbanding kesilapan mereka yang sedikit. Justeru itu, maafkanlah mereka jika mereka tersilap dan berdoalah untuk mereka.

Ingatlah bahawa kita pernah memohon restu mereka sebelum menghadapi peperiksaan. Mereka telah merestui kita tanpa pilih kasih. Apabila kita telah dewasa dan berjaya nanti, apakah sikap dan pengorbanan kita untuk mereka? Tidak mampukah kita menghadiahkan kepada mereka doa dan alfatehah sekurang-kurangnya? Fikir-fikirkan.

Wednesday, October 14, 2009

BIJAKLAH MENGURUSKAN MASA



Para pelajar yang dikasihi sekalian,
Antara kelemahan utama bangsa kita ialah gagal menepati masa. Kalau mesyuarat atau majlis pukul 9.00 pagi, maka orang dating pukul 9.30 pagi. Kalau usrah patut bermula pada pukul 9.00 malam, maka pukul 9.30 malam baru boleh bermula. Begitulah juga dalam segala aktiviti dan program hidup bangsa kita. Inilah salah satu aspek kelemahan dalam pengurusan masa.

Masa hendaklah diurus dengan baik. Bukan sahaja kita mesti menepati masa malah mengatur masa kita dalam kehidupan harian dengan sempurna. Pengurusan masa harian yang sempurna bermula dengan bangun pagi awal untuk solat Subuh dan berakhir dengan mula tidur antara pukul 11.00 hingga 12.00 malam agar cukup tidur untuk bangun keesokannya untuk solat Subuh.

Antara Subuh dan waktu tidur malam tadi, sewajarnya disusun dengan aktiviti, program dan rutin yang bermanfaat sesuai dengan masanya. Masa umpama kertas lukisan. Pada kertas itulah kita mengatur warna dan corak yang sesuai agar lukisan yang terhasil indah dan berkualiti. Masa yang dibazirkan umpama kertas lukisan yang ada ruang-ruang yang tidak diwarnakan. Lukisan ini boleh dianggap tidak sempurna atau gagal disiapkan. manakala masa yang diisikan dengan aktiviti negative dan pengurusan masa yang tidak teratur umpama lukisan yang berkecamuk, salah warna dan comot.

Pelajar mesti ambil berat tentang pengurusan masa ini. Belajarlah menepati masa walaupun bangsa kita terus meremehkannya. Gagal menepati masa samalah gagal menepati janji. Mungkir masa = mungkir janji. Munafik namanya. Muslim yang baik adalah muslim yang tahu menguruskan masa dan menepatinya. Insya-Allah, masa depan dan kehidupan menjadi baik bagi orang yang pandai menguruskan masa.

Sunday, October 11, 2009

Monday, October 5, 2009

Sunday, October 4, 2009

ANDA SUKAR CEMERLANG, JIKA CUAI.



Para pelajar semua khususnya calon PMR yang diharapkan kejayaan,
Kalaulah ada buah tangan yang cikgu dapat berikan dan bekalkan bersama pelajar ke dalam dewan peperiksaan, maka buah tangan itu ialah "pesanan agar JANGAN CUAI".

Pastikan jangan cuai apa-apa pun baik dari segi menjawab, mengira, membaca arahan soalan, melihat bilangan mukasurat soalan, menanda dan menulis jawapan, melihat jadual peperiksaan, menulis angka giliran dan sebagainya.

Kecuaian yang sedikit amat besar kerugiannya. Kecuaian menyebabkan pelajar star tak dapat "straight A". Yang patut dapat B, tak dapat B. Yang patut dapat ke sekolah asrama penuh, tak dapat masuk. Yang patut dapat hadiah, tak dapat hadiah. Begitulah seterusnya.

Ramai orang terkesan oleh CUAI. Ada yang banyak cuainya dan ada yang sedikit cuainya. Semua rugi. Agar tidak CUAI, berdoa, berhati-hati, jangan gopoh dan kelam kabut dan semaklah. Tenang dan fokus. Sekian. Kejayaan dan kecemerlangan semoga bersama pelajar sekalian.