“Dan (pada) pertukaran malam dan siang silih berganti dan juga (pada) rezeki yang diturunkan oleh Allah dari langit, lalu Dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta (pada) peredaran angin, (semuanya itu mengandungi) tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah, kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, serta keluasan rahmatNya) bagi kaum yang mahu menggunakan akal fikiran.”
Surah al-Jatsiah: 5
Wahai para remaja, anak-anakku yang dirahmati Allah sekalian,
Dalam hidup kita perlu menggunakan akal dalam mengendali, mengurus dan merancang kehidupan. Kita Islam. Ada perkiraan dosa, pahala ,syurga dan neraka. Kita tidak boleh membuat perkiraan dalam hidup hanya untuk diberi kepuasan kepada nafsu dan tuntutan dunia semata-mata. Apabila kita hanya berfikir berasaskan nafsu dan material , maka sudah pasti kita tersilap perkiraan. Mengapa?
Dunia yang kita pijak ini ialah dunia yang bersifat kebendaan dan tidak abadi. Apabila tiba masanya yang baru akan menjadi lapuk, yang baik akan menjadi buruk dan yang putik akan gugur. Jasad kita akan hancur bersama alam ini apabila berlaku kiamat. Hancur alam ini akan digantikan dengan alam yang baru, Padang Mahsyar, syurga dan neraka. Sebaliknya hancur jasad kita akan dibangkitkan semula untuk menerima balasan atas apa yang dilakukan di dunia.
Ingat-ingatlah, hidup di dunia paling lama 100 tahun lebih. Malah apabila umur masuk 60 tahun pun badan sudah terasa sakit, tidak larat melakukan kerja berat dan menderitai pelbagai penyakit. Ada yang sakit urat dan sendi dan ada yang terlantar berpanjangan. Sedangkan hidup di akhirat kekal abadi. Jadi logikkah kita memberi prioriti kepada kehidupan yang singkat berbanding dengan kehidupan yang kekal berpanjangan?
Wahai remaja yang berpandangan jauh ke depan,
Di medan perang, tentera mengatur strategi untuk mengalahkan musuh. Strategi yang baik dan berkesan memerlukan perkiraan yang penuh fakta, maklumat, hujah dan bijaksana. Dengan strategi yang berimpak tinggi barulah, kejayaan berjaya diraih. Begitulah sepatutnya kira membuat perkiraan dalam kehidupan. Apabila prioriti diberikan kepada kehidupan yang kekal abadi dengan nikmat syurga di akhirat, tidak bermakna kita meminggirkan keperluan dunia. Sedangkan Allah menyuruh kita mencari dan berdoa untuk kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Pendekatan yang patut kita ambil dalam perkiraan kita ialah ‘dunia dikelek, akhirat dijunjung’. Kedua-dua kita bawa bersama tanpa meninggalkan satu daripadanya. Cuma yang penting diletakkan pada tempat yang tinggi dan mulia manakala yang kedua penting diletakkan pada posisi yang rendah sedikit. Begitulah seterusnya. Dan jangan sekali-kali perkara-perkara kecil diletakkan pada tingkat teratas dalam minda kita. Semoga anak-anakku faham akan panduan hidup yang ayahanda berikan.
Kata Mutiara:
Allah meletakkan otak dalam tempurung kepala yang kukuh, bukan dalam tempurung lutut yang terdedah kepada rebah dan jatuh.