Saturday, March 24, 2012

AMIR MISTERI: HANYUT DI SUNGAI BUAYA



Sungai Buaya terletak di hujung Kampung Cempaka. Sering juga

digunakan orang untuk bermandi-manda. Sekali-sekala perahu kecil

menyusurinya. Perahu itu digunakan oleh para pemancing untuk mencari ikan

sungai dan udang galah. Bagaimana Sungai itu mendapat nama tidak dapat

dipastikan. Dengar cerita orang tua-tua, dahulunya banyak buaya menghuni

tempat itu. Namun kini, jarang benar buaya dijumpai. Yang paling akhir, berlaku

lebih kurang sepuluh tahun lepas. Seorang pengail udang hilang di sungai itu.

Dia dipercayai dibaham buaya. Perahunya dijumpai tetapi dirinya tidak ditemui.

Haizat dan kawannya mengambil keputusan untuk menyejukkan badan

di sungai itu selepas penat bermain. Orang tua selalu melarang budak-budak

mandi di sungai itu kerana terdapat jeram yang berbahaya. Arus airnya agak

deras. Tetapi budak-budak kadang-kadang degil dan tidak ikut nasihat ibu bapa.

Mereka berenang sambil bergurau di dalam air. Ada yang terjun ala

pelakon lasak. Suara tempik sorak mereka memecah kesunyian pinggir

kampung itu.

“Tolong , Buaya gigit kaki aku! Tolong !” Jerit Haizat sambil tubuhnya

ditenggelamkan. Tangannya terkapai-kapai.

Mendengar jeritan itu, Pian, Busu, Seli dan Nuar bingkas berenang ke darat

untuk menyelamatkan diri. Manakala Jalil terpegun panik. Masing-masing

ketakutan sambil memerhatikan tangan Haizat yang timbul tenggelam. Kalau

Haizat lemas, mereka sanggup tolong. Hal berkaitan dengan buaya mereka

awal-awal mengaku kalah. Seram sejuk badan mereka apabila mendengar

perkataan “buaya”. Mereka ingat Sungai Buaya sudah tiada buaya lagi. Rupa-

rupanya masih ada buaya ganas di sini, bisik hati mereka.

“Ha, ha, ha ! Akulah bapak buaya,” sorak Haizat apabila timbul di

permukaan. Dia ketawa terbahak-bahak apabila melihat kawan-kawannya

ketakutan. Melihat gelagat Haizat itu, barulah mereka ketawa beramai-ramai.

Namun di dalam hati, mereka menyumpah gurauan Haizat yang tidak kena pada

tempat itu. Rupa-rupanya mereka dipermainkan oleh Haizat.

“ Aku ingat kau betul-betul digigit buaya tadi,” Pian bersuara sebelum

membuat terjunan ke dalam sungai itu. Mereka semua kembali berenang dan

bergurau di dalam air yang dingin.

Sebenarnya Haizat risau juga. Dia tahu ibunya melarang dia mandi di

Sungai Buaya ini. Kata ibunya, dulu pernah ada orang mati kerana ditelan buaya.

Tetapi Haizat degil dan mengingkari pesanan ibunya. Nasihat ibunya dianggap

rekaan dan gertakan kosong sahaja. Namun dia tahu bahawa dia telah derhaka

kepada ibunya. Kata Ustaz Mamat semasa kelas Pendidikan Islam, maksud

derhaka kepada ibu bapa ialah melawan, ingkar dan bercakap kasar dengan

ibubapa. Derhaka kepada ibu bapa termasuk dosa besar. Tempat orang seperti

ini ialah neraka.

Ketika dia teringat akan perbuatannya melanggar nasihat ibunya, tiba-tiba

dia merasakan kakinya ditarik oleh arus jeram. Dia cuba berenang namun tidak

berdaya menongkah arus yang laju.. Dia tidak sedar bahawa dia telah berenang

ke kawasan jeram yang agak dalam. Dia tidak dapat mengawal dirinya lagi.

“ Tolong ! Tolong!” Aku hanyut,” Kawan-kawannya sangka Haizat

mempermainkan mereka lagi. Jadi mereka cuma ketawa melihat gelagat Haizat

yang hanyut semakin jauh itu. Mereka berfikir bahawa Haizat ingin

memperdayakan mereka lagi.

Dan ketika Haizat makin lemas, Amir Misteri muncul untuk memberi

bantuan. Apa pun kesilapan Haizat terhadap ibunya, Amir tetap menolong. Dia

tahu Haizat derhaka dan tidak ikut nasihat ibunya. Dia tahu Haizat berbohong

kepada kawan-kawannya. Kawan-kawannya tidak akan menolong Haizat kerana

mereka menyangka Haizat cuma berpura-pura lemas. Dia akan mengajar Amir

nanti. Buat masa ini, Haizat mesti diselamatkan.

Amir meredah sungai. Dia berenang ke arah Haizat yang terkapai-kapai.

Amir terus memaut badan Haizat yang tidak berdaya melawan arus. Air yang laju

menyukarkan Amir menolong Haizat. Tetapi dengan kebolehannya yang luar

biasa menyebabkan Amir berjaya berenang sambil memaut badan Haizat. Haizat

dapat dinaikkkan ke darat dengan selamat.

Haizat dilentangkan di bawah pokok ara berhampiran tebing sungai. Amir

menekan bahagian perut dan dada Haizat beberapa kali. Air jernih Sungai Buaya

terbuak-buak dari mulutnya. Dia tidak mampu membuka mata. Amir terus

memberi rawatan kecemasan sehinggalah keadaan Haizat makin pulih. Apabila

pernafasan agak selesa, Haizat cuba membukakan mata. Pandangannya

berpinar-pinar Haizat tidak dapat memerhatikan dengan jelas orang yang

menolongnya.

“Ingat Haizat. Kau telah menderhakai ibumu. Kau telah ingkar nasihat

ibumu. Allah murka akan orang yang menderhakai ibu bapa. Namun Allah juga

Maha Penyayang. Dia masih memanjangkan umurmu. Berkat kasih sayang

ibumu, engkau selamat.. Kasih ibu sepanjang jalan. Sayang ibu membawa ke

syurga. “ Pesan Amir. Haizat cuma mendengarnya tanpa dapat berkata apa-apa.

“ Haizat, perbuatan engkau menipu orang juga hampir merosakkan diri

sendiri. Sekali orang tahu kita penipu, orang tidak akan percaya lagi kepada kita.

Janganlah kita berbohong walaupun sekadar untuk bersuka-sukaan.” Amir terus

memasukkan pesanan berguna ke telinga Haizat. Dalam keadaan tersepit, orang

akan mudah menerima nasihat. Setelah melihatkan keadaan Haizat semakin

baik, Amir pun beredar dari situ .

Dia sempat menjabat tangan Haizat erat-eratv agar Haizat ingat akan

kata-katanya. Bagi Haizat, dia tidak kenal budak yang menolongnya. Dia amat

terhutang budi tetapi kata “terima kasih” tidak dapat diucapkan kerana dia masih

lemah. Namun di hatinya, dia amat berterima kasih dan bersyukur.

Pian, Busu, Seli, Nuar dan Jalil bergegas mendapatkan Haizat. Mereka

semua tertanya-tanya siapakah budak yang menyelamatkan Haizat tadi. Bagi

Haizat pula, dia teringatkan dosa terhadap ibunya. Mujur dia selamat. Dia

berjanji untuk memohon maaf dari ibunya. Dia juga sedar akan kesilapannya

terhadap kawan-kawannya. Sekali berbohong, orang akan terkena. Dua kali

bohong, akhirnya diri sendiri menanggung bahana.

“Kasih ibu sepanjang jalan. Sayang ibu membawa ke syurga.” Kata-kata itu

bermain-main di telinganya.

“ Siapakah budak yang menyelamatkanku tadi?” Haizat bingung tetapi dia

rasa amat bersyukur kerana Allah masih sayang akan dirinya.

No comments:

Post a Comment