Monday, March 12, 2012

KISAH AMIR MISTERI: BERDARAH KERANA BUDIN IKAN BUNTAL.


“Ikan Buntal berapa sekilo hari ni?” senda Lokman diikuti oleh hilai tawa

rakan-rakannya. Budin tersengih malu. Dia tak berkata apa-apa. Namun dia malu

digelar begitu. Sejak badannya makin gemuk, dia sering digelar sebagai Budin

Ikan Buntal. Dia tidak melawan walaupun dia sering marah apabila digelar

begitu. Makin dimarah makin galak pula kawan-kawanya mengulang-ulangi

gelaran itu.

Kadang-kadang apabila balik ke rumah, dia adukan kepada ibu dan

ayahnya. Di sekolah dia adukan kepada guru kelasnya. Tetapi mereka

menasihati Budin supaya tidak mempedulikan gelaran itu. Rasa berang juga ibu

bapa Budin tetapi apa boleh buat. Kalau dilayan nanti kelahi sampai melibatkan

orang tua pula. Cikgu Zamri selalu juga mendenda murid-murid yang menghina

Budin tetapi tidak jadi apa-apa pengajaran. Marah di sekolah mereka lakukan di

luar sekolah.

Entah macam mana, suatu hari Budin naik marah. Dia malu sunguh

digelar begitu di depan Zaleha, kawan sekelasnya. Azahar, Izzat, Syazwan dan

Lokman bersungguh-sungguh benar melaungkan kata-kata “Budin Ikan Buntal.

Budin Ikan Buntal”.

Zaleha diam tak berkata apa-apa. Dia simpati kepada Budin. Tetapi

apakan daya. Budak-budak itu memang tak dengar nasihat. Pernah Zaleha

dimarahi oleh mereka kerana masuk campur. Bagi mereka, mereka hanya

bergurau dan berolok-olok. Namun perasaan Budin lain pula. Dia tahu bahawa

kawan-kawannya bukan bertujuan untuk menghinanya. Mereka selalu bermain

dan belajar bersama-sama. Mereka kayuh basikal bersama-sama ke sekolah.

Tetapi apabila dia digelar di khalayak ramai dia akan terasa malu. Lebih-lebih

lagi di depan Zaleha, pelajar paling pintar di dalam kelas 6 Jujur.

Budin nekad kali ini. Sudah banyak kali dia bersabar. Kesabaran manusia

ada batasnya. Maka dengan tidak semena-semena Budin menerpa ke arah

kawan-kawannya itu. Sebiji penumbuk sempat singgah di dagu Lokman. Lokman

rebah. Darah mengalir keluar dari mulutnya. Dia menangis kesakitan. Kawan-

kawannya yang lain terdiam. Mereka menjauhkan diri dari Budin. Mereka takut

hendak menolong Lokman kerana bimbang Budin akan menyerang mereka pula.

Izzat yang bergigi rongak kerana banyak makan gula-gula itu paling jauh

melarikan diri. Awal-awal lagi dia memecut macam orang lari 100 meter. Dia

bimbang batang giginya semakin berkurang kalau-kalau kena penumbuk Budin

gemuk itu.

Amir Misteri datang tepat pada masanya. Lagaknya bagai pengintip

profesional yang akan bertindak apabila terpaksa. Budak-budak sekeliling

tercengang-cengang apabila melihat Amir merapati Lokman yang sedang

menangis kesakitan itu. Wajah Budin mula pucat apabila melihat mulut Lokman

berdarah. Budin melihat sahaja Amir mengesat darah di mulut Lokman. Amir

mententeramkan Lokman. Dia membaca sesuatu. Mulutnya kumat-kamit macam

orang baca doa. Kemudian disapunya mulut Lokman dengan usapan yang

lembut. Darah berhenti mengalir. Bengkaknya juga beransur surut. Lokman

berhenti menangis apabila dirasakan darah sudah berhenti mengalir dari

mulutnya. Budin yang masih tercegat di situ kagum akan kepandaian Amir

merawat Lokman.

Sambil memangku Lokman, Amir berkata,” Inilah akhirnya apabila kita

menghina orang. Orang boleh sabar selagi tahan. Lagi pun, apa guna menggelar

kawan. Bagaimana kalau orang menggelar kita dengan gelaran yang

memalukan? Bagaimanakah perasaan kita nant?. Awak tentu malu juga

macam Budin. Awak ada maruah. Budin juga ada maruah. Mengapa awak

jatuhkan maruahnya?”

Lokman rasa kata-kata Amir itu betul juga. Mungkin dia tidak terfikir

selama ini.Inilah agaknya balasan terhadap dirinya yang bermulut celupar itu.

Tak sangka Budin sanggup menumbuk aku. Berat juga penumbuknya; macam

badannya juga, bisik hati Lokman sambil meraba-raba mulutnya yang terasa

bengkak. Mujur tidak patah giginya. Kalau tidak sudah tentu Budin pula yang

akan menggelar dirinya sebagai Lokman Rongak.

Sambil memandang ke arah Budin yang masih membatu dan membisu,

Amir melontarkan pula kata-kata nasihat yang sesuai untuk budak gemuk itu.

“ Saya nasihat awak supaya jaga-jaga apabila makan. Jangan ikut nafsu.

Nabi kita larang kita makan keterlaluan. Makan apabila lapar. Berhenti apabila

kenyang. Kalau terlalu gemuk, kita mudah diserang penyakit. ” Amir berpesan.

Budin tahu memang dia kuat makan. Teguran Amir itu menyebabkan dia

teringat akan perangai buruknya apabila makan. Sepinggan nasi tak cukup. Dia

akan tambah jadi dua pinggan. Macamanalah berat badannya tak naik. Gemuk

sungguh. Tidak padan dengan usianya. Dia sedar akan kesilapannya kini. Kalau

Lokman silap kerana bermulut celupar. Dia juga silap kerana makan ikut nafsu.

Keinsafan mula terasa di hatinya. Budin dapat merasakan kebenaran kata-kata

nasihat Amir itu.

Apabila keadaan reda, Amir meletakkan tangan Budin ke atas tangan

Lokman. Kedua-dua tangan itu turut digenggam erat oleh Amir. Amir mahu

kemesraan benar-benar menyerap ke dalam hati-hati mereka.

“Bermaaf-maafanlah. Berjanjilah bahawa tiada lagi gelaran yang

memalukan. Berkawanlah baik-baik. Berkawan biar seribu. Bermusuh jangan

walaupun satu,” nasihat Amir lagi. Dia yakin bahawa nasihat yang baik penting

untuk kesejahteraan hidup manusia. Islam menyuruh umatnya saling menasihati

antara satu sama lain. Nasihat dapat menyelamatkan seseorang dari terjerumus

ke lembah kebinasaan.

Lokman dan Budin saling memohon maaf. Syazwan, Azahar, Izzat dan

Zaleha melihat peristiwa itu bagai tidak percaya. Mereka hairan dan tertanya-

tanya siapa gerangan budak yang menolong Lokman itu.

“Awak semua mari ke sini.” Pinta Amir kepada kawan-kawan Lokman.

Syazwan, Azahar, Izzat dan Zaleha datang dengan rasa takut-takut. Mereka

takut dimarahi oleh Amir.

“Ingat pesan saya. Jangan lagi gelar-menggelar, hina-menghina. Jangan

lukakan perasaan orang dengan mulut kita. Awak suka kalau orang lain hina

awak, gelar awak dengan gelaran yang tak baik?” Tanya Amir tegas.

“Tak suka!” Mereka jawab serentak dengan ringkas. Suara mereka jelas

menunjukkan mereka rasa bersalah.

“Kalau begitu, mulai hari ini hentikan amalan buruk itu. “

“Maaf Budin. Kami tak buat lagi.” Mereka semua bermaaf-maafan. Amir

rasa terharu melihat keinsafan mereka itu.

Amir dan Budin mengangkat Lokman yang masih lemah itu. Mereka

berjalan bahu-membahu. Mereka ingin pulang. Amir pula berlalu dari situ sambil

diperhatikan oleh budak-budak itu. Mereka agak mungkin Amir kebetulan lalu di

situ. Baiknya hati Amir. Alangkah bagusnya kalau Amir menjadi kawan kita, bisik

hati mereka.

No comments:

Post a Comment