ANTARA TIGA TANGISAN: DI MANA KITA?
Kita masih menangis kerana gagal mencapai cita-cita.
Kegagalan tersebut amat mengecewakan sehingga tak sedar air mata tertumpah dari
birai mata. Kita masih menangis kerana sakit. Apabila tidak tahan menanggung
kesakitan lantas air mata tertumpah lagi. Kita masih menangis kerana hati
disakiti. Sakitnya hati apabila orang sanggup membuat fitnah dan mengkhianati
kita. Luka hati hanya Allah yang tahu. Air mata bisa tertumpah lagi.
Sedarkah kita, di sana ada orang yang sedang menangis dalam
keheningan malam kerana mengenangi dosa-dosa lampau. Dosa-dosa yang telah
tersimpan dalam lipatan usia terulang
tayang satu persatu dalam mata batin penyesalan. Rasa bersalah kepada Allah
membuatkan air mata memenuhi kelopak mata bagai kepingin membasuh segala dosa.
Ketika kita masih menangis kerana terkenangkan dosa-dosa di
siang hari atau dosa-dosa lampau, ada orang lain yang sedang menangis kerana
kecewa dan takut disebabkan oleh ibadat yang tidak khusyuk. Solat tidak
khusyuk. Apabila berzikir, hati tidak khusyuk. Dalam apa-apa sahaja majlis mendekati
Allah, fikiran sering melayang kepada urusan dan masalah hidup harian. Ketika
mulut mengucap ‘subhana rabbial a’la
wabihamdih’, hati tidak memuji dan meninggikan Ilahi, sebaliknya hati teringat
pelbagai urusan keduniaan. Tasbih di mulut tidak lagi selari di hati. Rasa
berdosa mula menguasai diri. Lalu ketika berseorangan di dalam gelap atau
terang, mengalirlah air mata kerana rasa berdosa kepada Ilahi.
Ya, ketika kita menangis kerana hal-hal dunia, ada orang
lain di sana yang menangis kerana dosa-dosa lampau. Dan ketika kita menangis
kerana dosa-dosa lampau, ada di sana orang menangis kerana solat dan zikir di
mulut tidak selari pula di hati. Apabila hilang khusyuk dalam ibadat,
seolah-olah terasa solat dan zikir dilemparkan kembali ke mukanya bagai kain
buruk.
Aduh terbang segala semangat. Bagaimana aku harus berdiri di
depan Tuhan?
No comments:
Post a Comment