Sunday, June 30, 2013


Nilai Murni Menerusi BUDI dan Guru Sebagai Murabbi.

Guru sebagai murabbi akan membawa anak didiknya ke arah matlamat untuk menjadi manusia yang dekat dengan Allah. Manusia yang mengambilkira dosa dan pahala dalam kehidupan. Manusia yang nampak neraka di kiri dan syurga di kanan.

Sekurang-kurangnya ada tiga nilai murni yang mencabar murid-murid untuk diamalkan menerusi risalah BUDI. Pertama, cinta akan ilmu. Risalah BUDI memuatkan ilmu dan maklumat. Orang yang mencintai ilmu tidak akan mempersia-siakan ilmu walau ringkas dan pendek, tercetak tanpa gambar warna-warni dan kertas bermutu. Justeru pelajar yang mencintai ilmu akan memanfaatkan risalah BUDI meskipun nampak ringkas dan santai.

Kedua, nilai amanah. Pelajar diamanahkan untuk memberikan risalah ini kepada ibu bapa atau penjaga agar mereka tahu perkembangan di sekolah menerusi ruang Surat Untuk Penjaga. Pelajar yang melaksanakan tugasan ini bermakna pelajar itu adalah pelajar yang amanah. Didikan sifat amanah inilah hendak diterapkan kepada pelajar. Lawan amanah ialah khianat.

Ketiga, nilai baik hati. Risalah BUDI diedarkan bersama dengan Tabung Budiman. Orang yang pemurah  sudi membelanjakan sedikit wangnya untuk tujuan lain . Pemurah tergolong dalam nilai baik hati. Adapun lawannya ialah kedekut. Sifat kedekut ini ialah sifat mazmumah ( sifat tercela). Sifat inilah hendak dikikis dari diri kita. BUDI melalui Tabung Budiman ingin membina sifat dermawan dalam diri pelajar sejak kecil lagi.

Justeru itu, semua guru sebagai murabbi hendaklah seganding dan seiring untuk menjayakan penerbitan risalah bulanan ini dengan mengingatkan para pelajar untuk mencintai ilmu, bersifat amanah dan pemurah. Alangkah senangnya untuk menjadi murabbi namun ramai orang melepaskan kerja mulia ini.

BUKU KEBERADAAN GURU DI DALAM KELAS (MMI)

A. Guru Kelas
Semua guru kelas dikehendaki mengambil Buku Keberadaan Guru Di Dalam Kelas hari ini. Buku tersebut ada di atas meja saya. Buku itu hendaklah sentiasa berada di dalam kelas kerana guru matapelajaran dikehendaki menandatangani buku tersebut setiap kali masuk kelas. 'Kesejahteraan' buku tersebut adalah di bawah tanggungjawab Guru Kelas masing-masing. Sila tulis nama Kelas dan Guru Kelas di bahagian hadapan. Serta tulis peratus kehadiran guru setiap hari.

B. Semua Guru
Semua guru dikehendaki menulis nama dan  menandatangani buku di atas setiap kali  masuk ke kelas untuk pdp. Berdasarkan buku tersebutlah laporan bulanan ke Jabatan Pelajaran Negeri akan dibuat. 
C. Ketua / Penolong Ketua Kelas
Membawa buku tersebut ke makmal atau bilik lain untuk waktu seperti Sains di makmal, PJ, Muzik, PS di Bilik Seni dan sebagainya. Pastikan juga buku itu selamat dan dijaga dengan baik di dalam kelas. 

PENGUNAANNYA BERMULA PADA ISNIN 1 JULAI 2013

SEBAR-SEBARKAN.

Wednesday, June 26, 2013

PROGRAM HARI MESRA PENYERAHAN BUKU ADAB BELAJAR

Tahniah kepada ibu bapa yang dapat hadir ke Program Hari Mesra Penyerahan Buku Adab Belajar pada hari ini. Semoga perjumpaan dan perbincangan tuan-puan dengan guru-guru dapat memberi pencerahan kepada masa depan anak-anak kita. Segala kekurangan dan kesulitan, saya sebagai PK1 memohon ribuan maaf dan agar hal itu bukan menjadi perenggang antara sekolah dan tuan-puan.










Sekolah sentiasa mengharapkan kerjasama dan komitmen daripada tuan-puan semua dalam segala aspek untuk melahirkan tunas-tunas remaja yang cemerlang. Terima kasih.

MENDAKI KECEMERLANGAN

Pasukan Kawad Kaki Pengakap SKP terus berlatih. Semoga terus berjaya. Harap murid buat yang terbaik untuk diri masing-masing, sekolah dan ibu-bapa. Doa mengiringi anda semua. Selamat Berjaya.

Tuesday, June 25, 2013

MESYUARAT JKS/PENJANA MISI AKADEMIK

Esok RABU, 26 JUN 2013 akan diadakan mesyuarat di atas pada pukul 9.00 pagi di Bilik Mesyuarat SKP. Guru-guru yang terlibat diharapkan agar memberi kerja kepada murid masing-masing. Guru Pengawas hendaklah mengarahkan pengawas mengawal kelas kosong dan memastikan murid melakukan kerja masing-masing.
Sekian. Terima kasih.

Monday, June 24, 2013

KURSUS KSSR TAHUN 4

Dalam minggu ini dan seterusnya, ramai guru akan mengikuti kursus KSSR Tahun 4 bagi pelbagai subjek. Pendedahan kurikulum ini penting kerana terdapat perubahan-perubahan dan item-item baru yang turut berkait dengan PBS.

Guru yang mengikuti kursus hendaklah mengikutinya dengan baik agar dapat menguasai isi kandungnya serta dapat pula nanti mengadakan kursus dalaman kepada rakan-rakan mengikut panitia masing-masing. Guru-guru juga digalakkan melayari laman web NKRA/MOE untuk melihat lebih lanjut tentang maklumat KSSR.

Sunday, June 23, 2013

MAKLUMAN TERKINI 23 JUN 2013

1. Mesyuarat JKS/ PENJANA  MISI AKADEMIK
Mesyuarat tersebut diadakan pada bila-bila masa selepas tertangguh kerana beberapa program sekolah. Mesyuarat itu terpaksa diadakan pada pukul 10.00 pagi  kerana terdapat beberapa program petang yang berlangsung dalam minggu ini. Surat akan diedarkan oleh SU JKS/PENJANA sebaik sahaja mendapat lampu hijau dari GB.

2. Penyerahan Buku Adab Belajar
Program melibatkan Tahap 2 pada hari Rabu 26 JUN 2013  bermula dari 11.30 hingga 1.00 tengahari. Ibu bapa boleh membawa pelajar pulang bersama selepas berurusan dengan guru kelas. Diharapkan guru-guru sebagai tuan rumah menyambut dan berurusan dengan ibu bapa dengan etika keguruan dan mesra pelanggan. Buku Adab Belajar hendaklah diserahkan kepada pentadbir untuk ditandatangani segera.

Wednesday, June 19, 2013

BRAVO PENGAKAP DAN TUNAS PUTERI

                                 BERITA TERKINI: 
Tahniah, Tahniah, Tahniah. Pasukan Kawad Kaki Pengakap SKP menjadi JOHAN peringkat negeri. Tahniah juga untuk pasukan Tunas Puteri kerana telah cuba yang terbaik.Kalian semua telah mengharumkan nama SKP.

Hari ini pasukan kawad kaki Pengakap dan Tunas Puteri sekolah kita akan berjuang untuk menjulang nama sekolah dalam pertandingan peringkat negeri di Kuala Terengganu. Mereka dilatih dan diiringi oleh guru-guru yang begitu bersemangat untuk melihat kejayaan pasukan sekolah. Malah, semua warga SKP mengiringi pemergian mereka dengan seribu doa agar mereka berjaya membuat persembahan yang terbaik.

Usaha memartabatkan nama sekolah perlu dilakukan oleh semua pelajar dan guru SKP. SKP telah menjadi kebanggaan kita. Kita ingin melihat banyak lagi kejayaan yang diraih oleh sekolah kita. Kejayaan bukan bagai yang bulat datang bergolek dan pipih datang melayang. Kejayaan adalah sesuatu yang diusahakan dan melaksanakan syarat-syaratnya. Semoga anak didik SKP terus berusaha dan berjaya dalam segala bidang dengan pimpinan yang cemerlang oleh para guru.

BRAVO SKP.

Thursday, June 13, 2013

PENJANA MISI AKADEMIK: TAPAK GURU KREATIF DAN INOVATIF

Guru adalah Penjana Kejayaan Insan
Pindaan JK Penjana telah dilakukan dengan sedikit perubahan. Sila rujuk PENJANA MISI AKADEMIK di dalam blog sekolah ini.

Penjana Misi Akademik dirangka untuk menghasilkan kecemerlangan yang melibatkan semua aspek. Penjana ialah satu tapak untuk guru yang dilantik bergerak mengikut kreativiti dan inovatif secara berkumpulan. Terpulanglah kepada setiap guru ketua khususnya dan ahli jawatankuasa amnya untuk bergerak dan mengaplikasikan keupayaan diri dan unit masing-masing.

Penjana lebih berfokus kepada program dan aktiviti yang mampu melonjakkan minat dan keupayaan murid dalam bidang akademik. Justeru, program yang dirancang HENDAKLAH dilaksanakan mengikut jadual dan komitmen yang berterusan; bukan sekadar di atas kertas. PENJANA adalah seiring dengan JKS. Sebab itulah PENJANA digabungkan dengan JKS dan Ketua setiap unit PENJANA dikehendaki hadir dalam mesyuarat JKS.

Antara unit yang telah berjalan dengan baik ialah PENJANA 3, PENJANA 5, PENJANA 7 dan PENJANA 8. Ada Penjana yang sudah berjalan tetapi perlu dipertingkatkan. Sebarang masalah, ketua unit bolehlah berbincang dengan Guru Besar atau PK1. Sekian.

Wednesday, June 12, 2013

MENGHARGAI KETERAMPILAN DIRI DAN PEMBINAAN PERSEPSI

- oleh PK1
Persepsi: Orang Tua atau Gadis?

1. Setiap orang mempunyai bakat dan kebolehan sendiri. Bakat dan kebolehan itu berbeza antara seseorang individu. Sebagai guru, kita wajar menghargai dua nilai itu dalam mengangkat martabat karier. Tidak wajar kita menyembunyikan daripada pengetahuan orang lain semata-mata tidak mahu mencari beban kerja. Dengan cara yang penuh kreatif dan inovatif, keterampilan masing-masing perlu diketengahkan atas niat kerana Allah. Pasti Allah tidak mensesiakan kerja buat kita. Sekadar contoh, Saudara Arzo telah menunjukkan kreativiti seninya dengan mencipta pelbagai bahan untuk keceriaan pejabat dan sekolah. Semua guru dan staf sekolah tentu mempunyai kebolehan dan bakat masing-masing. Terjemahkannya sebagai satu bakti murni untuk SKP.


2. Sememangnya orang menilai kita dalam komuniti kecil mahupun masyarakat baik di kampung, di sekolah atau di mana sahaja kita berada. Orang boleh membuat persepsi sama ada dia kenal rapat dengan kita atau tidak. Contohnya, kawan sepejabat akan mudah membuat persepsi terhadap kita kerana sudah lama bergaul dengan kita. Manakala, apabila kita bersua dengan seseorang di pasar kita masih boleh membuat persepsi terhadap orang yang kita tidak kenali itu melalui pakaiannya, tuturkatanya dan tingkahlakunya. Kita di sekolah begitu juga, seorang guru membuat persepsi terhadap guru yang lain. Murid membuat persepsi terhadap guru. Persepsi tidak semestinya benar namun tindakan itu terbina melalui tututkata, tingkah-laku dan pergaulan yang berterusan. Persepsi itu akan berkait dengan IMEJ kita. Untuk imej yang positif dan segar, kita perlu membina persepsi yang baik pada pandangan orang. Kitalah menentukan nilai diri kita mengikut penilaian ahli masyarakat atau komuniti sekolah.

Tuesday, June 11, 2013

MAKLUMAT TERKINI 11 JUN 2013

1. Kelas Malam UPSR
Guru yang tidak dapat hadir kelas malam hendaklah mengambil tindakan proaktif dengan memaklumkan kepada pelajar kelas masing-masing lebih awal. Guru tersebut  boleh mengadakan kelas ganti pada hari lain. Guru ganti tidak akan disediakan kerana masalah kekurangan guru.

2. Melindungi Masa Instruksional (MMI)
Kementerian Pelajaran Malaysia mengarahkan pelaksanaan Buku Keberadaan Guru Dalam Bilik Darjah. Dengan itu, pihak sekolah diminta menyediakan buku tersebut seperti Lampiran E dan guru-guru hendaklah menandatangani buku tersebut setiap kali masuk ke kelas.

Monday, June 10, 2013

MAKLUMAN TERKINI

1. Buku Adab Belajar
Semua guru kelas Tahap 2 dikehendaki menyiapkan maklumat Buku Adab Belajar. Setelah siap, sila hantar kepada pentadbir untuk ditandatangan selewat-lewatnya Selasa 18 JUN 2013. Penyerahan Buku Adab Belajar mungkin diadakan pada pada Khamis 20 JUN 2013.

2. Pengisian Data LINUS BI 2.0
Tempoh masa untuk guru mengisi data LINUS BI 2.0 dalam NKRA ialah dari 27 MEI hingga 16 JUN 2013. Sekolah telah menerima memo daripada PPD kerana ada sekolah yang belum melengkapkannya.

3. Kem Tutorial Perkasa UPSR 2013
PPD Kemaman mencadangkan tarikh program tersebut pada  27 hingga 29 JUN 2013.

4. Mesyuarat JKS
- pindaan tarikh akan dimaklumkan kemudian.

5. Kusus KSSR Tahun 4
Antara guru yan g terlibat mengikut tarikh yang telah ditentukan oleh JPNT ialah
- Pn. Hasmiza A. Rahim   - Matematik
-  En. A. Hadi Salim - Sejarah
- Pn. Liza Juliana - Bahasa Arab
-Pendidikan Islam - En. Wan Othmairi

6. SPPBS
JPNT telah mengingatkan semua guru Tahun 1,2 dan 3 agar mengisi SPPBS 2013. Antaranya
i. Guru Matapelajaran mendaftar murid mengikut matapelajaran.
ii. Memasukkan prestasi murid dari awal tahun sehingga sekarang, mengikut bulan pencapaian.
iii. Data hendaklah diisi secara berterusan.

Saturday, June 8, 2013

SELAMAT KEMBALI KE SEKOLAH

Kepada Rakan Guru
Usaha dalam menjayakan visi dan misi sekolah perlu diteruskan setelah berehat selama 2 minggu. Kita kini sampai separuh perjalanan perjuangan untuk tahun ini. Perancangan yang direncanakan pada awal tahun perlu dinilai dan ditambahbaik agar momentumnya bertepatan dengan tempoh dan jadual kerja. Segala aktiviti dan program yang dijadualkan akan sama-sama kita dokong bak kata pepatah, berat sama dipikul ringan sama dijinjing, hati gajah sama dilapah hati kuman sama dicecah. Inilah kunci kejayaan yang diajarkan oleh nenek moyang kita.

Kepada mruid-murid
Kalian adalah pembawa obor sekolah. Kejayaan kalian dalam bidang akademik, akhlak dan kokurikulum adalah natijah daripada satu usaha yang berterusan. Bangsa kita sentiasa berpesan; usaha tangga kejayaan. Kalau tidak dipecahkan ruyung mana kan dapat sagunya. Kalau tidak berusaha, mana mungkin kejayaan dapat dicapai.

Marilah kita semua memanfaatkan  persekolahan Penggal Kedua ini dengan kerja berpasukan. Semoga Allah memberkati segala usaha kita dan mengampunkan kesilapan kita.

Sunday, June 2, 2013

KEMBALI KEPADA TUJUAN KITA DICIPTAKAN




“Tidak Aku jadikan jin dan manusia itu melainkan untuk beribadat kepada-Ku”
                                                                                                            Surah az-dzariyat: 56

Para remaja yang soleh dan solehah sekalian,
Lihatlah mentari yang mula naik di ufuk timur pada waktu pagi dan dan menghilang di ufuk barat pada waktu senja. Perhatikan pucuk-pucuk muda yang segar selepas hujan dan daun-daun kering yang berguguran. Renungi burung yang berterbangan, air yang mengalir dan gunung yang menunjangi bumi dengan kukuhnya. Semua itu ada pengajaran untuk diambil. Semua itu ada hikmah dan tujuan yang ditentukan Allah pada  kejadiannya. Bagaimanakah pula tentang kejadian kita yang menjadi khalifah di bumi ini?

Persoalan pokok tentang kejadian manusia mungkin pernah kalian fikirkan. Kalian tertanya-tanya mengapa Allah jadikan kita dan atas tujuan apa Allah jadikan manusia. Mungkin selama ini kita sibuk sehingga tidak berkesempatan untuk mencari jawapannya. Kita hanya menghabiskan masa dengan  kerja buat  yang dipandu oleh matlamat kita sendiri.

Para remaja yang dikasihi lagi disayangi sekalian,
Ayat di atas dari surah azd-dzariyat menjadi jawapannya wahai anak-anak remajaku. Maknanya cukup jelas dan mudah difahami. Itulah sebenarnya Allah menjadikan kita dan manusia seluruhnya. Kita diciptakan bukan untuk sesuatu tujuan yang tidak pasti. Kita juga tidak diciptakan untuk sibuk dengan urusan sendiri. Apalagi kalau kita tenggelam dalam keseronokan dunia yang penuh dengan hiburan dan tipudaya yang melalaikan. Itu sangat jauh menyimpang daripada tujuan Allah menjadikan kita. Itu kesesatan namanya.

Wahai remaja yang dirahmati semua,
Adakah kalian sedang bernafas atas landasan dan tujuan kalian diciptakan? Apakah ertinya beribadat seperti yang dimaksudkan Allah dalam surah di atas? Ibadat itu luas maksudnya wahai anak-anak remajaku. Ibadat bermakna mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. Beribadat bererti kita menjadi hamba dan memperhambakan diri kepada Yang Maha Pencipta. Solat, puasa dan berzikir adalah ibadat. Belajar dan bekerja untuk Islam juga ibadat. Tidur juga ibadat. Malah tidak melakukan sesuatu yang diharamkan oleh Allah juga dinamakan ibadat. Semuanya menjadi ibadat apabila dilakukan mengikut syariat dan peraturan Allah. Semuanya menjadi ibadat apabila dilakukan kerana Allah.

Anak-anak remajaku berada pada jalan yang benar sekiranya kalian melakukan aktiviti dan rutin kehidupan selaras dengan kehendak agama. Kalian menepati tujuan diciptakan seperti yang telah difirmankan oleh Allah dalam ayat suci di atas. Kalau anak-anakku berada di jalan yang bertentangan dengan perintah Allah , ayahanda menyeru kalian membetulkan semula langkah di bumi yang bersifat sementara ini.  Tinggalkanlah amalan yang melalaikan diri kalian  daripada mengingati dan mengabdikan diri kepada Tuhan. Ingatlah bahawa sesiapa yang gagal melakukan pengabdian diri kepada Ilahi bererti dia gagal menepati tujuan Allah menciptanya. Sudah pasti balasan yang amat menakutkan menanti manusia yang menyimpang hidupnya daripada landasan agama. Ayahanda yakin pesanan ini dapat menjadi renungan kalian. Ayahanda doakan keselamatan dan kesejahteraan untuk kalian wahai permata hati.

                        Buluh perindu tumbuh di hutan,
                                    Dibuat serunai merdu sekali;
                        Taat beribadat kepada Tuhan,

                                    Baru menjadi hamba sejati.