Sunday, June 30, 2013


Nilai Murni Menerusi BUDI dan Guru Sebagai Murabbi.

Guru sebagai murabbi akan membawa anak didiknya ke arah matlamat untuk menjadi manusia yang dekat dengan Allah. Manusia yang mengambilkira dosa dan pahala dalam kehidupan. Manusia yang nampak neraka di kiri dan syurga di kanan.

Sekurang-kurangnya ada tiga nilai murni yang mencabar murid-murid untuk diamalkan menerusi risalah BUDI. Pertama, cinta akan ilmu. Risalah BUDI memuatkan ilmu dan maklumat. Orang yang mencintai ilmu tidak akan mempersia-siakan ilmu walau ringkas dan pendek, tercetak tanpa gambar warna-warni dan kertas bermutu. Justeru pelajar yang mencintai ilmu akan memanfaatkan risalah BUDI meskipun nampak ringkas dan santai.

Kedua, nilai amanah. Pelajar diamanahkan untuk memberikan risalah ini kepada ibu bapa atau penjaga agar mereka tahu perkembangan di sekolah menerusi ruang Surat Untuk Penjaga. Pelajar yang melaksanakan tugasan ini bermakna pelajar itu adalah pelajar yang amanah. Didikan sifat amanah inilah hendak diterapkan kepada pelajar. Lawan amanah ialah khianat.

Ketiga, nilai baik hati. Risalah BUDI diedarkan bersama dengan Tabung Budiman. Orang yang pemurah  sudi membelanjakan sedikit wangnya untuk tujuan lain . Pemurah tergolong dalam nilai baik hati. Adapun lawannya ialah kedekut. Sifat kedekut ini ialah sifat mazmumah ( sifat tercela). Sifat inilah hendak dikikis dari diri kita. BUDI melalui Tabung Budiman ingin membina sifat dermawan dalam diri pelajar sejak kecil lagi.

Justeru itu, semua guru sebagai murabbi hendaklah seganding dan seiring untuk menjayakan penerbitan risalah bulanan ini dengan mengingatkan para pelajar untuk mencintai ilmu, bersifat amanah dan pemurah. Alangkah senangnya untuk menjadi murabbi namun ramai orang melepaskan kerja mulia ini.

No comments:

Post a Comment